Putera mahkota Saudi terima menghadap Anwar

Putera mahkota Saudi terima menghadap Anwar

Pertemuan rasmi itu adalah atas jemputan peribadi baginda kepada perdana menteri, selepas Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pertama Asean -Majlis Kerjasama Teluk pada Jumaat.

Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed Salman bersalaman bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa menghadiri Sidang Kemuncak sulung pemimpin Asean-Majlis Kerjasama Teluk . (Gambar Bernama)
RIYADH:
Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed Salman berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Al-Yamamah di sini pada Sabtu.

Pertemuan rasmi empat mata itu adalah atas jemputan peribadi baginda kepada Anwar, selepas Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pertama Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu negara ini pada Jumaat.

Mohammed dan Anwar membincangkan mengenai perang Palestin dan Israel yang berlanjutan sehingga kini setelah tercetus semula pada 7 Okt.

Pada sidang kemuncak itu, Mohammed dan Anwar senada dalam membangkitkan kebimbangan mereka berhubung kezaliman dan penindasan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Pada pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin berkenaan turut membincangkan beberapa isu berkaitan kepentingan bersama termasuk peluang pembangunan kedua-dua negara.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak Asean-GCC, lawatan kerja dua hari Anwar yang juga menteri kewangan menyaksikan beliau meneruskan perbincangan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala serta ekonomi antara Malaysia dan Arab Saudi.

Pada 5 Okt lepas, Anwar menerima panggilan telefon daripada Mohammed yang menjemput beliau untuk mengadakan lawatan ke Arab Saudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.