
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, berkata pelancaran aplikasi itu menjadikan PAS parti politik pertama dalam negara memiliki super app sendiri.
Katanya, ciri-ciri dalam aplikasi itu akan diperluaskan dengan SkimPas, Pasti, PasNews, PasPay, PasPoll, PasMonitor, PasApps, PasDeal, PasMoney, Pas Experience, Pas999 dan PasData.
“Aplikasi ini boleh digunakan oleh semua, bukan ahli sahaja. Mereka juga berpeluang mendapat kad fizikal MyOnePAS Mastercard, yang berfungsi seperti kad debit dengan menyediakan fungsi e-dompet sepenuhnya.
“Kita bekerjasama dengan sebuah syarikat IT untuk menjayakan projek ini. Super app ini dikuasakan oleh PasPay Merchant dan usaha digitalisasi ini dikuatkan lagi dengan penjenamaan bersama Mastercard.
“Pengeluaran kad prabayar MyOnePAS Mastercard akan memudahkan ahli membuat sebarang transaksi. Maknanya, semua transaksi dapat dibuat melalui aplikasi ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi itu oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Takiyuddin berkata, buat masa ini pihaknya masih dalam proses menstabilkan aplikasi itu dan pengguna android sudah boleh memuat turunnya.
Katanya, bagi pengguna iPhone ia akan berfungsi bermula 24 Nov ini.
“Aplikasi mudah alih ini memfokuskan ciri-ciri gaya hidup Islamik dan turut menyediakan waktu solat serta arah kiblat. Ia juga menawarkan fungsi e-wallet, ‘cashless’ dan QR ‘payment’. Pengguna boleh ‘top up’ sehingga RM35,000 iaitu RM10,000 untuk e-wallet dan RM25,000 kad,” katanya.