
Bagi Jairajdev Singh, andai masa dapat diputarkan semula ke zaman kanak-kanak, beliau akan manfaatkan sebaik mungkin masa bersama ibu bapanya. Pelajar kolej berusia 18 tahun ini berpendapat ramai yang tidak menyedari betapa pentingnya masa, hinggalah apabila sudah terlambat.

“Adakah tuntutan kerja kedua ibu bapa saya menjadi penghalang untuk mereka meluangkan masa bersama dengan saya? Ya, sudah tentu,” tambah Jairajdev yang bercita-cita menjadi seorang peguam.
“Membina keluarga dan hubungan perlukan masa. Alangkah baiknya jika dari awal lagi saya punyai lebih banyak masa bersama mereka, berbanding dengan keadaan sekarang. Apa pun, saya tetap sayangkan ibu bapa saya.”
Jairajdev berkongsi pendapatnya sebagai sebahagian daripada usaha institusi kewangan terkemuka RHB dan FMT untuk memahami betapa pentingnya masa dan pengurusan masa kepada rakyat Malaysia.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia, Peter Raiappan pula berpendapat seseorang itu hanya akan menyedari betapa berharganya masa apabila menghampiri penghujung usia.
Menurutnya, komitmen kerja masa kini membuatkan lebih ramai yang menghabiskan masa mereka di tempat kerja dan bukan dengan orang tersayang, menyebabkan mereka terlepas peluang untuk berkumpul bersama keluarga.
“Dulu, kita kerja dari 9 pagi sampai 5 petang. Pukul 5 dah boleh balik,” kata beliau yang berusia 79 tahun. Beliau kini mengendalikan sebuah syarikat Perunding Sumber Manusia dan sebagai Presiden Persatuan Penduduk Medan Damansara.
Tambahnya, “Zaman dah berubah. Beban kerja makin bertambah sampai memberi kesan terhadap kehidupan berkeluarga.”
Menurut Forum Ekonomi Dunia, jumlah waktu bekerja tahunan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia antara tahun 1970 hingga 2019 tidak banyak berubah, walaupun berlaku kemajuan teknologi. Ini termasuklah automasi dan digitalisasi yang seiring dengan peralihan negara ke arah revolusi perindustrian keempat.
Secara purata, seseorang pekerja di Malaysia bekerja selama 2,230 jam setahun (kira-kira 46.45 jam seminggu) pada 1970. Pada 2019 pula, masa bekerja purata ialah 2,197 jam setahun (45.77 jam seminggu).
Menurut Tribunal Perkahwinan Jabatan Pendaftaran Negara, daripada sejumlah 6,901 kes perceraian yang didaftarkan pada 2018, sebanyak 2,971 kes (43.1%) berpunca daripada masalah kewangan keluarga.
Demi kelangsungan hidup, banyak pasangan yang terpaksa bekerja lebih masa. Akibatnya, ikatan kekeluargaan dan perkahwinan terjejas.
Pada 2021, EMIR Research iaitu sebuah kumpulan pemikir bebas mengesyorkan ahli keluarga meluangkan lebih masa bersama ahli keluarga pada setiap minggu untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan. Ini bertujuan mengurangkan kadar perceraian di Malaysia.
Kekangan masa dan kurang bijak dalam mengurus masa menjadi antara penyebab utama runtuhnya ikatan kekeluargaan dan perkahwinan.
Faith Foo, seorang kaunselor kesihatan mental merujuk kepada pengurusan masa sebagai “masalah besar” pada masa ini. Tambahnya lagi, kekangan masa memberi kesan serius terhadap perkahwinan dan ikatan antara pasangan dan ahli keluarga, mengakibatkan berlakunya perceraian dan tekanan jiwa.

“Ramai yang berkata kononnya mereka tiada banyak masa, tetapi cuba kita perhatikan. Sebenarnya, mereka banyak membuang masa pada telefon atau komputer,” kata Faith Foo, pengasas dan pengarah Abri Integrated Mental Health.
“Bila datang untuk sesi kaunseling, kebanyakan klien saya selalu bercakap tentang zaman kanak-kanak mereka . Mereka berkata jarang dapat peluang bersama ibu bapa mereka.”
Tambahnya lagi, lebih menyedihkan bila kebanyakan kliennya mengaku yang mereka sebenarnya dibesarkan oleh ‘kakak’ (pembantu rumah) atau melalui zaman kanak-kanak yang sunyi.
“Tiada siapa pun yang bertanya, “Macam mana hari ni?” “Okey tak?”
“Sama-sama kita renungkan.”