Ramai terbunuh, Israel serang gereja di Gaza, kata Hamas

Ramai terbunuh, Israel serang gereja di Gaza, kata Hamas

Gereja Saint Porphyrius 'mengecam keras' serangan itu yang menyebabkan ramai orang awam yang berlindung di gereja tertua di Gaza itu terbunuh dan cedera.

Gereja Greek Orthodox Saint Porphyrius adalah gereja paling tua yang masih digunakan di Gaza dan terletak di kawasan kejiranan bersejarah bandar itu. (Gambar Wikimedia Commons)
GAZA:
Sejumlah penduduk yang berlindung di kawasan gereja di Gaza terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas kawasan itu menjadi sasaran serangan tentera Israel lewat semalam, kata Kementerian Dalam Negeri Hamas.

Serangan di Gereja Greek Orthodox Saint Porphyrius menyebabkan “ramai yang syahid dan cedera”, kata kementerian itu.

Saksi memberitahu AFP, serangan kelihatan disasarkan pada satu sasaran berdekatan gereja itu di mana ramai penduduk berlindung ketika serangan rejim Zionis terhadap Gaza semakin meningkat.

Kata saksi, serangan itu menyebabkan bahagian hadapan gereja itu rosak dan sebuah bangunan yang bersambung runtuh. Tambahnya, ramai mangsa yang cedera dibawa keluar untuk dikejarkan ke hospital.

Saint Porphyrius adalah gereja paling tua yang masih digunakan di Gaza dan terletak di kawasan kejiranan bersejarah bandar itu.

Gereja Orthodox Patriarchate di Baitulmuqaddis “mengecam keras” serangan terhadap gereja itu.

“Menyerang gereja dan institusinya, bersama tempat berlindung orang awam yang tidak bersalah terutama kanak-kanak dan wanita yang kehilangan rumah akibat serangan udara Israel sejak 13 hari lalu adalah satu jenayah perang yang tidak boleh diendahkan,” kata gereja itu dalam satu kenyataan.

Gereja itu terletak tidak jauh dari Hospital Al-Ahli Arab di mana serangan udara tentera Israel pada Selasa lalu menyebabkan sekurangnya 471 orang terbunuh.

Israel melancarkan serangan udara terhadap Gaza sebagai tindak balas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, yang didakwa rejim Zionis menyebabkan sekurangnya 1,400 terbunuh, kebanyakannya orang awam.

Serangan rejim Zionis di Gaza menyebabkan sekurangnya 3,785 penduduk Palestin terbunuh yang majoritinya orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.