Malaysia tawar jadi tuan rumah perlawanan Palestin, Australia bulan depan, kata Adam Adli

Malaysia tawar jadi tuan rumah perlawanan Palestin, Australia bulan depan, kata Adam Adli

Tawaran itu selepas Konfederasi Bola Sepak Asia menolak permintaan Palestin mengadakan perlawanan bagi kelayakan Piala Dunia 2026 di Algeria.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, berkata Malaysia sedia menjadi tuan rumah selepas Palestin perlu menamakan venue neutral.
KUALA LUMPUR:
Malaysia sedia menjadi tuan rumah bagi perlawanan dalam Kumpulan I Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Palestin dan Australia yang dijadual berlangsung pada 21 Nov.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, berkata pihaknya telah menghubungi Kedutaan Palestin dan memaklumkan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah perlawanan itu di Stadium Bola Sepak Cheras.

“Kami telah menghubungi Kedutaan Palestin petang tadi (semalam) dan membuat tawaran kami kepada mereka untuk menjadi tuan rumah perlawanan antara Palestin dan Australia di Stadium Bola Sepak Cheras, Bandar Tun Razak bulan depan,” katanya dalam hantaran di laman sosial X malam tadi.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada hantaran di X daripada seorang wartawan Mani Djazmi @BBC_Mani yang menyatakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menolak permintaan Palestin untuk perlawanan itu diadakan di Algeria.

“AFC telah menolak permintaan Palestin untuk beraksi dalam kelayakan Piala Dunia menentang Australia bulan depan di Algeria memetik Algeria adalah benua yang berbeza, kemudahan dan kebajikan pemain yang tidak diketahui. Palestin perlu menamakan satu venue neutral baharu di Asia menjelang 25 Okt ini,” kata Djazmi.

Malaysia sebelum ini menjadi gelanggang neutral untuk perlawanan pertama perlawanan “play-off” pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 antara Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Okt 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.