
“Semasa penutupan ini, kakitangan utama dari kilang retak dan larut resap akan dipindahkan untuk membantu proses pembukaan semula di Kalgoorlie, Australia,” kata laporan suku tahun terbarunya.
Pada April, Lynas mengumumkan bahawa ia merancang untuk sama ada menutup sementara operasi di Malaysia atau mengurangkan pengeluaran sebanyak mungkin jika syarat-syarat lesen yang melarang import dan memproses lantanida pekat masih kekal.
Pada 9 Mei, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang, mengumumkan bahawa beliau tidak akan mengubah keputusannya untuk menolak rayuan Lynas untuk menghapuskan empat syarat lesen yang ditetapkan oleh Lembaga Lesen Tenaga Atom.
Kementerian juga mengadakan tribunal tertutup pada 28 April untuk membincangkan rayuan bagi menghapuskan empat syarat yang dikenakan pada Mac 2020, yang melarang import dan memproses elemen bumi nadir.
Syarat utama ialah Lynas mesti memindahkan operasi retak dan larut resap lantanida pekat ke luar Malaysia dan hanya dibenarkan untuk menapis bahan perantaraan di kemudahannya di Gebeng, Pahang.
Ini menyebabkan Lynas memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan mengenakan beberapa syarat ke atas lesen operasinya.
Dalam laporan suku tahun itu, juga menyatakan hasratnya untuk meningkatkan operasi hiliran di Malaysia untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran neodimium-praseodimium (NdPr) kepada kira-kira 10,500 tan setahun.
Peningkatan kapasiti ini adalah tertakluk sama ada lesen pengendalian akan dikemaskini bagi membenarkan terus mengimport dan memproses lantanida pekat bermula 1 Januari 2024, katanya.
“Jika perkara tersebut tidak berlaku, kapasiti ini masih diperlukan kerana Kalgoorlie akan meningkatkan kadar kapasiti stok suapan MREC kepada kira-kira 9,000 tan setahun produk akhir NdPr,” katanya.
Lynas berkata jika kemaskini lesen operasi membenarkan untuk meneruskan import dan memproses lantanida pekat, ia juga akan menjalankan kerja penyelenggaraan pada kemudahan retak dan larut lesap.