
Semuanya tidak akan menjadi kenyataan tanpa keazaman bapanya, Wira Sudepja Rabu, 48, yang menjadi ‘kaki dan tangan’ untuk gadis berusia 15 tahun itu merasai keseronokan dunia luar.
Kisah mereka menjadi perhatian selepas video memaparkan Wira berlari sambil menolak kerusi roda khas serta mendukung Dihan (nama mesra) sejauh 21 km hingga ke garisan penamat pada Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM), awal bulan ini.
Bagi Wira, larian itu bukanlah sekadar perlumbaan, sebaliknya setiap langkah dan kudrat digunakan membawa ‘anak syurganya’ itu berlari bersama memberi seribu satu makna untuknya sebagai seorang ayah yang memiliki anak Cerebral Palsy.
“Saya tahu anak saya tak akan mampu berjalan seumur hidup.
“Tapi hari itu saya dapat rasakan seolah-olah saya dapat berlari bersama dengan dia, itu yang saya cuba nak bawa juga masa hari itu, Alhamdulillah berjaya,” katanya kepada FMT.
Akui Wira, pada mulanya ada timbul perasaan bimbang sama ada Dihan mampu bertahan dengan cabaran sepanjang larian, namun kebimbangan dan penat lelahnya hilang sebaik melihat senyuman terukir di wajah anaknya ketika melintas garisan penamat.
“Kebimbangan saya menjadi kekaguman bagi orang lain, ia mengubah persepsi saya,” katanya.
Terapi Dihan
Pemerhatian Wira mendapati aktiviti bersama dapat membantu perkembangan emosi anak kesayangannya itu. “Ketawanya memang mahal dan ikhlas, tak boleh nak paksa…jadi benarlah emosi dirasakannya ketika itu.”

Dalam memperjuangkan kesedaran masyarakat terhadap golongan Cerebral Palsy, Wira bersama beberapa ibu bapa lain memiliki anak istimewa itu turut menubuhkan kumpulan aktiviti kecergasan beroda yang dinamakan Bikesable .
“Sebenarnya bikesable ini terapi dua dalam satu untuk anak dan ibu bapa, ia juga sebenarnya lebih kepada ikatan silaturahim,” kata salah seorang ahli, Muhamad Fazli Samad.
“Ada aura daripada kawan yang sekasut (senasib), kami menjadi akrab dan membantu satu sama lain…dah jadi macam keluarga,” kata seorang lagi bapa kepada anak Cerebral Palsy, Shahriman Nordin.
Cerebral Palsy berpunca akibat kecederaan kekal pada bahagian otak kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah yang menyebabkan penghidap berdepan masalah pergerakan.