
Dalam ucapannya kepada para perwakilan di muktamar tahunan PAS ke-69, Hadi menyifatkan usaha menarik sokongan pengundi bukan Islam sebagai “usaha penting dan berat” yang mesti dilakukan.
“Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun, dan bijaksana,” katanya, seiring mesej pimpinan yang menggambarkan PAS dan Perikatan Nasional kerajaan menanti, kepada perwakilan sejak semalam.
Hadi menarik perhatian para perwakilan kepada hakikat di sebalik peningkatan mendadak kerusi yang dimenangi PAS pada pilihan raya lepas, PN masih gagal membentuk kerajaan.
“Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU16,” tegasnya.
PAS memperolehi jumlah kerusi terbanyak berbanding parti-parti lain pada PRU15, iaitu sebanyak 43 daripada 18 kerusi pada PRU14.
Ketika ini ia memerintah empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Hadi mahu “jaminan keadilan dan keharmonian” dalam pemerintahan PN diterangkan kepada pengundi bukan Islam, khususnya oleh Gerakan.