Ambulans bawa pesakit terbalik dilanggar di persimpangan

Ambulans bawa pesakit terbalik dilanggar di persimpangan

Polis berkata ambulans menyalakan lampu pandu arah kecemasan dan siren meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat merah di laluannya.

Keadaan di tempat kejadian selepas ambulans dirempuh kereta di persimpangan lampu isyarat dekat Persiaran Idaman Villa, Bandar Sri Sendayan awal pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah ambulans membawa dua pesakit terbalik di persimpangan lampu isyarat dekat Persiaran Idaman Villa, Bandar Sri Sendayan di Seremban akibat dirempuh sebuah kereta.

Ketua Polis Seremban Arifai Tarawe berkata ambulans dipandu seorang lelaki 43 tahun bersama seorang pembantu perubatan membawa dua pesakit lelaki berusia 18 dan 66 tahun.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, katanya, ambulans dari Sungai Pelik, Sepang menuju Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban, sedang melalui lampu isyarat merah.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, ambulans yang menyalakan lampu pandu arah kecemasan dan siren itu dikatakan meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat merah di laluannya.

“Kemudian kereta Volvo dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun dikatakan melanggar bahagian sisi kanan ambulans hingga menyebabkannya terbalik.

“Akibat kemalangan itu, semua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke HTJ untuk menerima rawatan,” katanya menurut Harian Metro.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 17 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.