Ahli Parlimen bidas kritikan cadangan bawa pelarian Gaza ke Malaysia

Ahli Parlimen bidas kritikan cadangan bawa pelarian Gaza ke Malaysia

Wong Chen meminta rakyat Malaysia meletakkan diri mereka dalam situasi dilalui ‘rakyat biasa’ Gaza, khususnya wanita dan kanak-kanak.

Wong Chen kecewa ramai golongan terpelajar tidak memahami maksud menyediakan tempat perlindungan sementara untuk pelarian. (Gambar Parlimen Malaysia)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mengkritik komen negatif yang diterimanya berhubung cadangan kerajaan membawa pelarian Gaza ke Malaysia.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen, yang mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa berkata, komen-komen itu sarat dengan bias dari segi politik dan perkauman, khususnya terhadap rakyat Timur Tengah.

“Mereka yang mendakwa cadangan saya, jika diterima oleh kerajaan, akan melahirkan ‘pengganas’ di Malaysia, lebih baik kaji semula prasangka politik mereka yang begitu mendalam,” kata pemimpin PKR itu dalam catatan Facebook hari ini.

“Letakkan diri kamu dalam situasi rakyat biasa di Gaza, kemudian tanya apa yang kamu mahu masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia, lakukan untuk membantu kamu dan keluarga kamu.”

Beliau berkata, jika Malaysia menerima pelarian, ia akan melibatkan individu paling rentan, khususnya wanita dan kanak-kanak, bukannya pejuang.

Wong juga berkata, langkah menyediakan perlindungan sementara kepada pelarian tidak akan memberikan mereka kerakyatan atau taraf pemastautin tetap.

“Saya kecewa ramai golongan terpelajar tidak faham maksud menyediakan tempat perlindungan bagi pelarian.

“Selepas perang tamat dan keadaan menjadi normal, pelarian akan dihantar pulang. Itu norma antarabangsa dalam hal pelarian,” katanya sambil mengakui, sesetengah pelarian mungkin memohon kerakyatan atau menetap.

Pada sidang media di Parlimen semalam, Wong berkata, JKPK akan berbincang dengan Kementerian Luar untuk melihat kemungkinan menghantar pasukan ke lintasan Rafah bagi menilai pelarian Gaza untuk dibawa ke Malaysia.

Wong menjawab soalan sama ada Malaysia patut mengikut contoh Scotland dan menerima pelarian Gaza.

Lintasan Rafah yang terletak di sempadan selatan Gaza, menyediakan laluan keluar ke Semenanjung Sinai di Mesir, dan menjadi tempat berkumpul ramai warga Palestin yang berharap melarikan diri daripada konflik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.