Perangi rasuah, wajibkan pegawai kerajaan jalani ujian integriti, gesa pemerhati

Perangi rasuah, wajibkan pegawai kerajaan jalani ujian integriti, gesa pemerhati

Pemerhati berkata hasil pemantauan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam berpunca daripada pematuhan integriti sangat rendah dan 'ia amat menakutkan'.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata faktor persekitaran dikatakan sebagai penyebab penjawat awam menerima sogokan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa pegawai awam diwajibkan menduduki ujian psikologi atau “psikometrik” setiap tahun bagi mencegah gejala rasuah.

Presidennya Jais Abdul Karim berkata berdasarkan pemantauan majoriti kes berpunca daripada pematuhan integriti sangat rendah dan “ia kelihatan amat menakutkan”.

“Faktor persekitaran dikatakan sebagai penyebab penjawat awam menerima sogokan,” katanya dalam kenyataan kepada FMT, mengulas penahanan seorang pegawai kerajaan di sebuah kementerian oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit kes rasuah, semalam.

Lelaki berusia 40-an itu disyaki menerima kira-kira RM40,000 wang rasuah sebagai balasan untuk mempercepatkan proses tuntutan bayaran syarikat kontraktor.

Jais Abdul Karim.

“Persekitaran yang korup dan tekanan sosial yang tinggi menjadi punca utama mempengaruhi gejala ini,” kata Jais.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak masalah rasuah dalam sektor awam umpama “warisan” ditinggalkan pihak atasan yang mengajar orang baru untuk menerimanya sebagai amalan kebiasaan dan menyebabkan gejala itu sukar dibendung.

Justeru, Jais berkata proses perolehan kontrak awam perlu dipercepatkan agar tiada ruang untuk sogokan, selain mencadangkan kaedah pendigitalan dalam sistem kontrak dan tender digunakan sepenuhnya.

“Redakan birokrasi yang berlebihan kerana ia pasti dapat menutup ruang dan peluang mereka melakukan rasuah.

“Proses tuntutan bayaran kontraktor juga perlu lebih telus dan mudah dipantau. Laporan berkaitan transaksi kewangan mesti boleh diakses oleh masyarakat prihatin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.