
Waris mangsa berkata mereka berasa kecewa dengan kegagalan kerajaan untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi itu.
Wong Wai Fong, 36, berkata laporan tersebut sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan.
Katanya, laporan itu adalah samar mengenai siapa yang patut dipertanggungjawabkan, dan menimbulkan persoalan sama ada pemilik tanah yang menguruskan tapak perkhemahan itu sedar, kawasan itu adalah untuk pertanian.
Menurut laporan forensik, tiada bukti kukuh kejadian tanah runtuh itu sebahagiannya berpunca daripada “aktiviti antropogenik” atau aktiviti manusia yang menyebabkan perubahan alam sekitar.
Kata laporan itu, tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi 16 Disember tahun lalu, menyaksikan dua kegagalan cerun, yang membentuk zon runtuhan dengan kedalaman purata 14m dan 120m panjang.
Seramai 31 mangsa termasuk 13 kanak-kanak terbunuh dalam tragedi itu, dan 61 lagi cedera.
Laporan mendedahkan pemilik tanah diberi kebenaran untuk membina resort dan taman botani di bidang tanah, di mana lokasi itu berlaku.
“Laporan itu menyatakan taman botani dan resort diluluskan untuk perancangan, tetapi kami tidak melihat sebarang kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar dalam laporan itu,” kata Wong kepada FMT.
Menamakan Malaysian Botanical Garden Resort Sdn Bhd sebagai pemilik tanah seluas 81.71ha, laporan itu memberitahu kebenaran merancang untuk pembangunan itu diluluskan Majlis Daerah Hulu Selangor pada Disember 2019.
“Kerajaan perlu memberi penjelasan mengapa hanya lokasi tapak perkhemahan yang terjejas dengan hujan lebat manakala kawasan sekitarnya tidak,” kata Wong.
Seorang mangsa yang selamat Leong Kim Meng, 58, berkata laporan itu gagal memberi keadilan kepada mangsa.
Menggambarkan laporan itu sebagai tidak menyakinkan, Leong menggesa kerajaan bertindak bagi pihak mangsa dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab supaya tragedi serupa tidak berulang lagi.
Michael Teh, 48, pula menganggap laporan yang dikeluarkan sebagai “tidak logik” dan menggesa kerajaan membuat kajian baharu berhubung tragedi itu.