
“Kita akan lihat dulu berapa harganya sebelum membuat apa-apa perubahan sebab sekarang baru peringkat persetujuan dan akan ada peringkat rundingan harga dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Menara LPP.
Semalam, kerajaan India meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan basmati ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa dua negara.
Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur dilaporkan berkata, keputusan New Delhi itu selaras dasar berterusan India menyokong usaha negara sahabat dalam menjaga keterjaminan makanan domestik.
India melarang eksport beras putih bukan basmati yang digunakan secara meluas bagi mengawal kenaikan harga domestik pada 20 Julai lalu.
Sebelum ini, Kementerian Ekonomi berkata harga beras putih import ditentukan oleh negara pengeksport, menurut infografik menjelaskan kenaikan harga makanan ruji itu di X.
Harga beras dunia naik mendadak seawal Januari 2023, dengan pengeluaran dan bekalan beras dilaporkan terganggu akibat perubahan iklim dunia.
Pada 1 Sept lalu, Padiberas Nasional Bhd menyelaras harga jualan beras putih import daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan, sejajar harga di pasaran antarabangsa ketika itu.
Mengulas perkembangan lain, Mohamad berkata tarikh pelaksanaan pengapungan harga ayam dan telur akan diumumkan pada 30 Okt ini.
Beliau berkata perbincangan mengenai harga pengapungan masih sedang berjalan dengan pihak industri, khususnya pengeluar ayam dan telur.
“Pihak ketua setiausaha Kementerian sedang memainkan peranan untuk membuat pertemuan supaya harga nanti berada dalam keadaan kenaikan tidak begitu mendadak,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi selepas mendapati bekalan kedua-dua sumber makanan kini stabil.