Gandakan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam, kata Subramaniam

Gandakan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam, kata Subramaniam

Bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam berkata negara berdepan masalah dalam penyampaian perkhidmatan, infrastruktur dan mengekalkan pekerja.

Kerajaan memperuntukkan RM41.2 bilion, atau 10.5% daripada belanjawan tahun depan untuk penjagaan kesihatan tetapi jumlah itu hanya mewakili 2.1% daripada KDNK negara, kata Dr S Subramaniam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menggandakan bajet penjagaan kesihatan jika ingin meningkatkan perbelanjaan sektor tersebut kepada kira-kira 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyelesaikan masalah pembiayaan jangka panjang, kata bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam.

Beliau yang juga pengerusi bersama majlis penasihat Kertas Putih Kesihatan mengakui bahawa perbelanjaan kerajaan dalam penjagaan kesihatan awam meningkat dari tahun ke tahun.

Katanya, sebanyak RM41.2 bilion atau 10.5% diperuntukan untuk kesihatan dalam Belanjawan 2024 tetapi ia hanya menyumbang 2.1% pada KDNK negara.

“Malah, walaupun hanya perbelanjaan 4% daripada KDNK, ia bermakna menggandakan bajet itu,” katanya semasa berucap dalam sesi bersama Akademi Perubatan Malaysia, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, dan Institut Kesihatan Global Antarabangsa, Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sesi bertajuk “National Health Service (NHS): Rise and decline – Lessons for Malaysia!” diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Oktober.

Berdasarkan Kertas Putih itu, bahagian sektor awam Malaysia dalam perbelanjaan kesihatan semasa adalah rendah jika dibandingkan dengan 6.4% dan 4.4% dari KDNK, yang merupakan purata yang dibelanjakan oleh negara berpendapatan tinggi dan pertengahan.

Subramaniam berkata kurangnya perbelanjaan mengakibatkan sektor kesihatan awam menghadapi pelbagai masalah, seperti kelewatan dalam perkhidmatan, kekurangan infrastruktur, dan kesukaran dalam mengekalkan pekerja kesihatan.

Beliau juga mempertahankan cadangannya pengenalan skim insurans kesihatan sukarela, walaupun ahli ekonomi global lebih suka sistem dibiayai cukai.

Katanya cukai am adalah pilihan yang ideal sekiranya kerajaan memberi pembiayaan yang mencukupi.

“Masalah kami, banyak kali jumlah diterima oleh Kementerian Kesihatan hanya 50% daripada jumlah yang diminta,” katanya.

Tambahnya, jumlah yang diminta itu adalah berdasarkan bukti selepas kementerian menyenaraikan keperluannya yang khusus.

Atas faktor itu, ada kebimbangan bahawa kaedah cukai am mungkin tidak dapat memenuhi keperluan kementerian tersebut, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.