Audit pengambilan kerja OKU dalam perkhidmatan awam, gesa aktivis

Audit pengambilan kerja OKU dalam perkhidmatan awam, gesa aktivis

Mereka mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menunaikan janji 1% pekerjaan untuk OKU, sedangkan dasar itu wujud sejak 1988.

Kumpulan-kumpulan menyokong komuniti OKU berkata, sudah tiba masanya untuk mengaudit proses pengambilan kerja kerajaan bagi OKU. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan menyokong komuniti orang kurang upaya menggesa agar audit dijalankan terhadap proses pengambilan kerja dalam perkhidmatan awam bagi orang kurang upaya (OKU).

Kumpulan-kumpulan itu mempersoalkan mengapa kerajaan tidak memenuhi janjinya untuk menyediakan 1% pekerjaan dalam perkhidmatan awam untuk orang kurang upaya, memandangkan dasar itu telah wujud sejak 1988.

“Selepas 35 tahun gagal melaksanakan dasar, sudah tiba masanya untuk mengaudit proses pengambilan kerja kerajaan bagi OKU,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

“(Audit) ini mesti meneliti, antara lainnya, (unsur) pra-pekerjaan, termasuk pengumuman kekosongan jawatan dan pengambilan, serta orientasi sikap di tempat kerja serta kemudahan munasabah lain dalam perkhidmatan awam.”

Mereka berkata, Pelan Tindakan OKU 2018-2022 termasuk penubuhan pasukan capaian audit untuk memastikan kebolehcapaian di tempat kerja dan kemudahan munasabah, tetapi inisiatif ini masih tidak dipenuhi.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh OKU Rights Matter Project; Autism Inclusiveness Direction Action Group; Boleh Space; dan lebih 20 pihak lain, termasuk aktivis dan perunding perubatan.

Kumpulan itu memetik data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang menunjukkan bahawa setakat September 2022, hanya 0.3% dalam perkhidmatan awam terdiri daripada OKU. Sesetengah kementerian mempunyai kadar pengambilan sangat rendah, iaitu hanya pada 0.1% hingga 0.2%.

Data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mendedahkan, pada tahun lepas, daripada 3,777 permohonan pekerjaan perkhidmatan awam oleh OKU, hanya 1,008 atau 27% yang dipanggil untuk temu duga.

“Ini jelas menunjukkan tahap penolakan yang tinggi bagi OKU pada fasa permohonan, malah sebelum mereka berpeluang untuk ditemu duga,” kata kumpulan itu.

Selain itu, daripada 3,777 pemohon, hanya 71 (1.9%) diambil bekerja.

Kumpulan-kumpulan itu juga berkata, kadar pengambilan kerja bagi mereka yang mengalami masalah pertuturan, pendengaran, psikososial atau pembelajaran jauh lebih rendah berbanding mereka yang cacat fizikal atau penglihatan. Ini mungkin mencadangkan diskriminasi berdasarkan jenis kecacatan.

“Dengan 16% daripada populasi mempunyai kecacatan, langkah mengabaikan potensi tenaga kerja ini tidak cerdik,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, undang-undang negara berhubung diskriminasi di tempat kerja turut meliputi orang kurang upaya, justeru tiada keperluan menggubal undang-undang khusus untuk kumpulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.