Tragedi Batang Kali: Kerja penyelenggaraan cerun, jalan ikut jadual

Tragedi Batang Kali: Kerja penyelenggaraan cerun, jalan ikut jadual

Laporan forensik mendedahkan kegagalan cerun pertama menyebabkan pembentukan empangan sementara yang kemudiannya pecah lalu membawa runtuhan lebih besar.

Laporan forensik juga menyatakan tiada bukti kukuh menunjukkan “aktiviti antropogenik” merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh itu.
PETALING JAYA:
Kerja-kerja penyelenggaraan cerun dan jalan di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali dilakukan mengikut jadual, menurut laporan forensik tragedi Disember tahun lalu itu.

Kata laporan itu, tiada bukti kukuh menunjukkan “aktiviti antropogenik” merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh itu.

Antropogenik merujuk kepada aktiviti manusia yang membawa kepada perubahan kepada alam sekitar.

“Kerja penyelenggaraan cerun dan jalan dilaksanakan mengikut jadual penyelenggaraan di lokasi kejadian,” kata laporan itu yang disiarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini.

Laporan itu juga dinyatakan bahawa dua kegagalan cerun utama berlaku dalam insiden itu, dengan yang pertama berlaku setelah struktur lereng mengalami tahap ketepuan air yang tinggi. Ini menyebabkan zon runtuh dengan kedalaman purata 14m dan panjang 120m.

“Seterusnya, runtuhan yang terdiri daripada tanah, batu dan pokok dari runtuhan pertama berkumpul di kaki lereng yang runtuh, membentuk empangan sementara.

“Aliran air di permukaan dari tebing yang runtuh dan air sungai sedia ada terkumpul di belakang empangan sementara.

“Selepas 20 minit, empangan sementara itu pecah, mengakibatkan jisim runtuhan kedua dalam bentuk aliran serpihan, menutupi seluruh kawasan perkhemahan.”

Laporan tersebut menyatakan bahawa aktiviti manusia boleh mempengaruhi kestabilan cerun, tetapi menegaskan bahawa ia tidak dapat dibuktikan secara konklusif sebagai penyumbang utama kejadian tanah runtuh Batang Kali.

“Tanpa bukti yang kukuh yang mengaitkan sebarang aktiviti manusia dengan runtuhan, adalah munasabah untuk dianggap kejadian itu berpunca hasil daripada kegagalan semula jadi.”

Laporan itu turut mencadangkan Putrajaya memperluaskan pelaksanaan Pelan Induk Cerun Negara 2009-2023 selama 15 tahun untuk membentuk pelan pengurusan lereng yang berkesan.

Seramai 31 orang kehilangan nyawa termasuk 13 kanak-kanak, dan 61 diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, berdekatan Batang Kali pada 16 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.