Pemuda terkilan, gesa PAS beri lebih ruang anak muda jadi calon

Pemuda terkilan, gesa PAS beri lebih ruang anak muda jadi calon

Anak muda PAS adalah pihak memberikan sokongan tinggi kepada parti dan PN dalam PRU15 tahun lalu, kata Ketua Pemuda Ahmad Fadhli Shaari.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa kepimpinan parti lebih serius memberikan ruang dan peluang kepada tenaga muda untuk tampil sebagai calon pilihan raya.
SHAH ALAM:
Pemuda PAS terkilan dengan keputusan parti yang meletakkan jumlah minimum calon anak muda pada PRN lalu.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari, berkata anak muda PAS merupakan pihak yang memberikan sokongan tinggi kepada parti dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 tahun lalu.

“Pemuda ingin sekali lagi menggesa kepimpinan parti lebih serius memberikan ruang dan peluang kepada tenaga muda untuk tampil ke depan mengisi kemenangan.

“Jika dibincang dari konteks ketua Pemuda negeri, hanya satu sahaja ketua Pemuda PAS negeri bertanding di kerusi Kota Anggerik di Selangor, manakala lima lagi negeri tidak membariskan ketua Pemuda negeri atas pelbagai sebab dan faktor,” katanya dalam ucaptama Pemuda pada Muktamar PAS.

Sementara itu, Fadhli berkata PAS menjadi parti arus perdana yang kuat, bukan hanya dilihat berteraskan Islam tetapi parti teras kepada orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau mengakui penerimaan pengundi atas pagar bukan Melayu kepada idea dan pendekatan PAS masih perlu ditambah baik.

“Taktik menakut-nakutkan rakyat atas pagar bukan Melayu dengan isu perkauman dan agama masih diguna pakai untuk melebarkan jurang.

“Namun, anak muda tidak boleh berputus asa dan berpeluk tubuh dalam memastikan pengundi atas pagar bukan Melayu ini memahami politik matang dan sejahtera yang PAS sedang bawa,” katanya.

Beliau berkata, PAS adalah parti mengamalkan politik matang dan sejahtara dengan tidak meminggirkan bukan Melayu apabila melantik Adun Gerakan sebagai salah seorang exco di Kedah, walaupun parti itu hanya memenangi satu kerusi.

“Selain itu, PAS juga melantik senator bukan Melayu dan pegawai khas menteri besar Kedah bukan Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.