
Beliau berkata, Padu yang menyediakan gabungan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini mampu menyalurkan data secara terperinci mengenai bantuan yang diterima oleh rakyat.
“Kita boleh tahu semua bantuan kerajaan yang perolehi oleh setiap rakyat secara keseluruhannya melalui pangkalan data Padu seperti bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sumbangan Tunai Rahmah.
“Kadang-kadang bantuan itu bertindih-tindih, jadi kita tak mahu lah…jadi jika kita dah dapat satu bantuan tertentu mungkin kita boleh bagi kepada orang lain,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio.
Padu merupakan sistem yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat dan bersepadu.
Pada 15 Mei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan Padu itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang turut bermatlamat mengenal pasti ketirisan yang wujud, sekali gus menambah baik pelaksanaan sistem subsidi kepada golongan sasaran.
Bulan lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, sistem Padu yang mula dibangunkan sejak Mei itu sudah mencapai 60% dan sedia untuk digunakan pada Januari depan.