Kumpulan perniagaan nafi sasar sesiapa dalam perjanjian tanah P Pinang

Kumpulan perniagaan nafi sasar sesiapa dalam perjanjian tanah P Pinang

Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang berkata ada banyak persoalan belum terjawab berhubung perjanjian itu yang sudah dibatalkan.

Presiden PCCC Hong Eam Wah (kiri) dan Presiden Kehormat Seumur Hidup Tan Kok Ping dalam sidang media di George Town hari ini.
GEORGE TOWN:
Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) tidak menyasarkan mana-mana ahli politik atau syarikat dalam isu penjualan sebidang tanah perindustrian di Batu Kawan, kata Presidennya Hong Eam Wah.

Beliau berkata, kumpulan itu sekadar bimbang dengan cara perjanjian berkenaan dibuat tanpa pemeriksaan sewajarnya.

“Walaupun perjanjian itu sudah dibatalkan, ada banyak persoalan belum terjawab,” katanya dalam sidang media.

Hong mendakwa, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam kenyataan berhubung pembatalan perjanjian itu, terus mempertahankan perjanjiannya dengan Umech Construction Sdn Bhd “boleh dilaksanakan”.

Berdasarkan laporan penarafan kredit, katanya, syarikat itu tiada kemampuan dari segi kewangan untuk melaksanakan projek besar seperti taman perindustrian.

Beliau berkata, laporan boleh dilihat orang ramai itu menunjukkan Umech mempunyai hutang RM39.9 juta dan nisbah penggearan atau hutang sebanyak 215%, menunjukkan syarikat terbabit mempunyai hutang besar berhubung ekuitinya.

Nisbah penggearan melebihi 100% menunjukkan syarikat itu mempunyai lebih banyak hutang berbanding ekuiti, bermakna ia beroperasi menggunakan pinjaman.

Hong berkata, satu lagi isu tidak dijawab ialah penjualan tanah dengan Umech Construction yang kemudian dipindahkan kepada Umech Land Sdn Bhd serta bagaimana tanah itu diberikan pajakan 99 tahun, bertentangan pajakan 60 tahun yang biasanya diberikan bagi tanah perindustrian.

“Paling mengejutkan ialah selain tiada tender terbuka, tiada juga laporan penilaian profesional. Tanpa perlindungan dan tapisan ini, bagaimana kita dapat memastikan kepentingan PDC dan rakyat Pulau Pinang dilindungi sepenuhnya?

“PDC membina sembilan taman perindustrian dalam beberapa dekad lalu. Persoalannya, kenapa kamu tidak boleh membina satu lagi taman perindustrian sendiri?” soalnya.

Beliau menggesa pengurusan tertinggi PDC dirombak kerana semua isu ini menunjukkan kurang usaha wajar.

Perjanjian tanah seluas 226 hektar itu dibatalkan PDC semalam susulan perubahan pegangan saham dalam Umech Land tanpa kelulusan PDC terlebih dahulu, tetapi ia mempertahankan keputusan awalnya menjual tanah itu kepada Umech.

Awal bulan ini, PCCC membangkitkan isu berhubung penjualan sebidang tanah dekat Batu Kawan kepada Umech Construction bawah harga pasaran.

Ia juga mendapati perjanjian rundingan terus itu tidak boleh diterima, selain mendakwa sebuah syarikat pemaju hartanah menguasai Umech dan menawarkan untuk memajak tanah itu pada kadar tinggi.

Pada 27 Sept lalu, Sunway Bhd mengumumkan Umech Land menandatangani perjanjian pembangunan bersama dengan PDC untuk membangunkan tanah seluas 558.96 ekar (226.20 hektar) di Batu Kawan sebagai taman perindustrian dengan nilai pembangunan kasar sekitar RM3.5 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.