Kerajaan teliti keperluan tubuh JHEV di setiap negeri

Kerajaan teliti keperluan tubuh JHEV di setiap negeri

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kira-kira 5,000 anggota tentera bersara setiap tahun dan jumlah terkini mencecah 213,000 pesara.

Adly Zahari berkata, Kementerian Pertahanan sedang menambah kakitangan di Jabatan Hal Ehwal Veteran menerusi program pekerjaan jangka pendek MySTEP melibatkan penyertaan veteran tentera. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan sedang melihat keperluan menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di setiap negeri bagi membolehkan program untuk pesara tentera sampai ke peringkat akar umbi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kira-kira 5,000 tentera bersara setiap tahun, justeru menyusun kerjaya kedua buat pesara adalah keutamaan kerajaan bagi memastikan mereka dapat keluar daripada garis kemiskinan.

“Antara cabaran adalah kita ada lebih 213,000 veteran ketika ini. Kita tahu anggota di JHEV itu agak terhad untuk melihat semua veteran…sebab itu kita merancang, yang pertama adalah di setiap negeri tidak ada lagi gabungan, contoh kalau kita tengok di Melaka/Negeri Sembilan dan Kelantan/Terengganu.

“Jadi, kalau boleh, setiap negeri mempunyai jawatankuasa di peringkat hal ehwal veteran itu sendiri. Ini yang sedang kita usahakan,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berhubung kesukaran veteran ke pejabat JHEV yang jauh dari kawasan penempatan mereka.

“Kelantan kena ‘cover’ sampai Terengganu, menyebabkan tindakannya tidak berapa efisien,” kata Khlir.

Ketika ini, hanya Lembah Klang, Perak, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah mempunyai JHEV masing-masing, sementara Kelantan/Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Kedah serta Negeri Sembilan/Melaka digabungkan mengikut zon.

Adly berkata, kementerian itu sedang menambah kakitangan di JHEV menerusi program pekerjaan jangka pendek MySTEP melibatkan penyertaan veteran tentera.

“Dengan cara ini, kita fikir anggota veteran lebih dipedulikan dan program kita akan sampai ke akar umbi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.