
Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, industri halal dunia bernilai hampir USD7 trilion setiap tahun namun ia gagal diterokai oleh agensi kerajaan itu sebagai badan peneraju bagi segmen berkenaan.
“Negara yang mengaut keuntungan Korea, Jepun, Thailand, Singapura. Malaysia tak ada nombor. Sedangkan negara ini terkenal dengan produk halal.
“Sudah tiba masanya kerajaan memperkasakan HDC…bekerjasama dengan Jakim. Kedua-dua agensi ini tidak lagi boleh beroperasi macam zaman batu.
“Staf Jakim hanya berapa orang, HDC cuma berapa orang, ofis pun tersorok. HDC harus diperkasakan,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024.
Beliau mendakwa kehadiran HDC masih tidak “dirasai” di negara ini, malah masih ramai yang tidak mengenali agensi berkenaan.
“27 Okt ada pameran halal di United Kingdom dihoskan oleh HDC tapi di negara kita HDC orang tak kenal pun.
“Sedangkan, logo halal (Malaysia) diidam-idamkan di seluruh dunia termasuk Jepun, Hong Kong dan negara lain tetapi kita tak boleh manfaatkan isu ini.”
Justeru, beliau meminta peranan HDC dan Jakim disemak semula selain peruntukan tambahan agar aktiviti promosi dan industri pengeluaran produk halal dapat dipergiatkan oleh agensi berkenaan.
“Saya minta kerajaan melihat perkara ini sebagai satu perkara yang menjadi keutamaan supaya negara kita tidak ketinggalan dalam pengeluaran produk halal,” katanya.