
“Tidak benar saya tidak menjawab,” kata Chow.
“Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberi respons kepada PCCC sejak hari pertama lagi. Ia mungkin bukan atas nama saya tetapi ia sama, saya adalah pengerusi PDC,” katanya.
Terdahulu, Presiden Kehormat Seumur Hidup PCCC Tan Kok Ping berkata Chow “tidak cekap, jahil dan tidak tahu malu” kerana mengelak soalan mengenai perjanjian itu.
Perjanjian tanah seluas 226 hektar itu dibatalkan PDC semalam susulan perubahan pegangan saham dalam Umech Land kepada pemaju.
Sementara itu, Chow berkata Umech Construction Sdn Bhd dan Umech Land Sdn Bhd pada dasarnya adalah sama, dengan pemegang saham yang sama, pada masa tanah itu dijual.
Beliau berkata, adalah perkara biasa bagi syarikat untuk menyediakan syarikat bertujuan khas (SPV). Bagaimanapun, dia tidak menyatakan sama ada Umech Land adalah SPV Umech Construction.
Mulanya PDC menjual plot Batu Kawan kepada Umech Construction, kemudian kepada Umech Land – pada masa itu sebahagian daripada Sunway Bhd – memeterai perjanjian dengan PDC untuk membangunkan tanah itu.
“Saya tidak dapat menjawab soalan lanjut kerana terdapat kesahan dalam menamatkan perjanjian itu. Kami memberi masa tiga bulan kepada Umech untuk menjawab penamatan itu,” katanya.
Mengenai gesaan untuk merombak PDC, Chow berkata mereka yang terlibat akan tertakluk kepada semakan KPI, dan keputusan perjanjian tanah akan diambil kira. Beliau enggan mengulas lanjut.