
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa berusia 44 tahun itu didapati pergi ke rumah suspek sebelum berlaku pergaduhan.
“Hasil siasatan lanjut kita mendapati terdapat 40 kesan tikaman termasuk di bahagian yang sama di dada. Sebelum kejadian, mangsa pergi ke rumah suspek sebelum berlaku pergaduhan.
“Susulan itu, suspek mengambil sebilah pisau di dalam rumah yang disewanya dan menikam mangsa sehingga lelaki itu maut,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Kelantan di IPK Kelantan, Kota Bharu.
Beliau berkata, ketika kejadian isteri suspek turut berada dalam rumah.
Beliau berkata, suspek dan isterinya masing-masing berusia 32 dan 29 tahun ditahan semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sebilah pisau pemotong sayur dirampas untuk siasatan lanjut.
“Suspek dan mangsa sebelum ini pernah menyewa bersama sebelum mereka tinggal berasingan bersama isteri masing-masing,” katanya.
Zaki berkata, suspek dan isterinya direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, perintah reman dibuat di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Nazri.
Semalam, Bernama melaporkan dalam kejadian pada 9.30 pagi semalam, seorang lelaki Rohingya maut dengan mayatnya ditemukan di kawasan kebun jagung berhampiran rumah disewa suspek.