Biryani Wallahs ubah kehidupan wanita pelarian, imigran

Biryani Wallahs ubah kehidupan wanita pelarian, imigran

Matlamat Biryani Wallahs menawarkan wanita dari komuniti terpinggir peluang untuk meraih pendapatan sendiri.

Nazia mula memasak untuk Briyani Wallahs sejak 2020.
PETALING JAYA:
Bagi seorang wanita imigran bernama Nazia, Biryani Wallahs umpama talian hayat yang membantunya keluar dari masa yang sukar.

Ini semua bermula ketika wabak Covid-19 pada 2020, apabila guru separuh masa berusia 41 tahun ini menerima berita mengejutkan apabila suaminya terkandas di India akibat perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan hampir seluruh dunia.

Nazia terpaksa menjaga anak-anak mereka seorang diri di Malaysia.

“Saya hilang arah. Anak kelima saya akan lahir tidak lama lagi. Ia sangat sukar bagi saya untuk menghadapinya,” kata Nazia kepada FMT.

Nazia memasak dan membungkus Nasi Briyani di rumahnya.

Dia kemudiannya terbaca hantaran Facebook aktivis hak asasi manusia Mahi Ramakrishnan yang mencari tukang masak untuk menyertai Biryani Wallahs.

Nazia mengambil keputusan menghubung Mahi dan tidak menyangka bahawa hidupnya akan berubah selepas itu.

Biryani Wallahs adalah perniagaan yang bertujuan untuk memperkasakan wanita dari komuniti pelarian dan pendatang serta keluarga B40, memberi mereka peluang untuk menjana kewangan supaya boleh membayar sewa, menampung yuran sekolah anak-anak dan mungkin juga menyimpan sedikit wang.

Mahi, juga pengasas Biryani Wallahs, berkata perniagaan itu menerima sokongan kewangan yang luar biasa daripada NGO dan syarikat korporat, sehingga ia mampu menjana keuntungan selepas beroperasi selama setahun setengah.

Nazia mengambil masa berjam-jam untuk memasak Nasi Briyani setiap hari.

Ketika ini, 100% hasil daripada jualan disalurkan kepada lima orang chef wanita di Biryani Wallahs, yang mampu meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan dengan memasak nasi beriani dari rumah masing-masing.

“Ia umpama satu anugerah. Saya berasa sangat bangga dapat mencari rezeki untuk keluarga. Ini adalah talian hayat bagi saya dan ramai chef lain,” kata Nazia yang kini menjadi ketua chef Biryani Wallahs.

Sementara itu, Mahi berkata beliau merancang untuk mendapatkan lebih banyak dana untuk Biryani Wallahs supaya mereka boleh menggaji pengurus media sosial untuk membantu mengiklankan produk mereka secara dalam talian.

“Kami juga ingin memperluaskan perniagaan kepada wanita lain yang berminat dan membayar Nazia untuk melatih mereka agar kami dapat memastikan kualiti biryani dikekalkan,” kata Mahi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.