Bayar gaji tertunggak sebelum laksana langkah pemulihan, Nufam beritahu MYAirline

Bayar gaji tertunggak sebelum laksana langkah pemulihan, Nufam beritahu MYAirline

Kesatuan Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia berkata kru kabin berhak untuk tinggal di rumah dan menerima gaji sehingga MYAirline beroperasi semula.

Nufam mengingatkan pekerja MYAirline yang ingin menamatkan kontrak bahawa obligasi kontrak mereka masih berkuat kuasa, termasuk sebarang bon dengan syarikat itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
MYAirline Sdn Bhd digesa membuat pembayaran sebahagian daripada gaji tertunggak kepada pekerja sebelum memulakan langkah pemulihan yang lain.

Kesatuan Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam) menegaskan, semua pekerja syarikat penerbangan tambang rendah yang bermasalah itu berhak menerima gaji tertunggak mereka sehingga diberhentikan.

Kesatuan itu juga berkata anak kapal mempunyai hak untuk mematuhi syarat kontrak pekerjaan mereka, yang membolehkan mereka tinggal di rumah dan masih menerima gaji sehingga syarikat penerbangan itu beroperasi semula.

“Tugas anak kapal adalah untuk melayani penumpang di dalam kapal terbang, bukan di luar pesawat. Pekerja terikat dengan kontrak pekerjaan asal mereka, dan ini tidak boleh dipinda mengikut kesesuaian sesiapa, termasuk pekerja.

“Nufam sebelum ini mendapat maklumat ada majikan mengarahkan kru kabin mereka menyusun fail, kerusi, dan meja di pejabat. Ini adalah salah sama sekali bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan mereka.”

Kesatuan itu juga mengingatkan pekerja MYAirline kewajipan kontrak mereka masih berkuat kuasa, termasuk sebarang bon yang mereka ada dengan syarikat itu.

“Nufam menasihatkan pekerja MYAirline yang ingin menamatkan kontrak pekerjaan mereka supaya berhati-hati bagi mengelak daripada terlibat dengan isu lain.”

Pada 12 Okt, MYAirline menggantung operasinya serta-merta kerana masalah kewangan. Tindakan itu dilaporkan menjejaskan lebih 125,000 penumpang yang membeli tiket bernilai lebih RM20 juta untuk perjalanan sehingga Mac 2024.

Susulan penggantungan itu, Ahli Lembaga Pengarah MYAirline Azharuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata semua pekerja kekal bekerja sepenuhnya dan tiada sesiapa pun diarah mengambil cuti tanpa gaji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.