
Wanita Asia pertama yang memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar menerusi “Everything Everywhere All at Once” awal tahun ini, dipilih dengan 67 undi berbanding sembilan dan satu undi berkecuali.
Beliau antara lapan ahli baharu dipilih pada hari terakhir sesi IOC ke-141 di Mumbai, India.
Selepas mengangkat sumpah Olimpik bersama ahli baharu lain, wanita 61 tahun itu yang ditemani suaminya, Jean Todt, bekas presiden badan induk sukan permotoran FIA, menerima pingat ahli IOC daripada Presiden Thomas Bach.
Sebelum undian diadakan, Puteri Anne dari Britain yang mengetuai Jawatankuasa Pemilihan Ahli IOC memperkenalkan Yeoh sebagai “juara junior skuasy Malaysia”.
“Malangnya, kemahiran lain menyebabkan beliau meninggalkan kehidupan sukannya, tetapi beliau mempunyai kerjaya sangat baik dan masih berminat dengan sukan.”
Selain Yeoh, ahli baharu lain IOC ialah pemenang pingat Olimpik pertama Israel, Yael Arad; ahli perniagaan Hungary dan pentadbir sukan, Balazs Furjes; bekas pemenang pingai Olimpik dan ahli politik dari Peru, Cecilia Tait serta usahawan sukan Jerman, Michael Mronz.
Kelima-limanya dicadangkan lembaga eksekutif IOC bulan lalu.
Petra Soerling dari Sweden yang mengetuai Persekutuan Ping Pong Antarabangsa serta Kim Jae-youl dari Korea Selatan, presiden Kesatuan Luncur Antarabangsa, turut dipilih menganggotai IOC berdasarkan peranan mereka dalam persekutuan sukan antarabangsa.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Tunisia, Mehrez Boussayene turut dilantik sebagai ahli ex-officio.
“Calon-calon ini membawa nilai tambah kepada tugas IOC disebabkan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang kehidupan berbeza,” kata Bach ketika lapan ahli baharu itu dicadangkan bulan lalu.
Untuk rekod, wakil terakhir Malaysia ke IOC ialah bekas presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar, yang kini ahli kehormat.