Kontrak 200 kaunselor dilanjut hingga 2025

Kontrak 200 kaunselor dilanjut hingga 2025

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ia adalah sebagai langkah awal bagi memenuhi keperluan rakyat untuk perkhidmatan melibatkan kesihatan mental.

Pada 2020, KKM telah memperluaskan perkhidmatan kaunseling di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan menempatkan 200 kaunselor baharu di seluruh negara. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) telah melanjutkan kontrak 200 kaunselor sehingga Ogos 2025, kata Menterinya, Dr Zaliha Mustafa.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Zaliha berkata ia adalah sebagai langkah awal bagi memenuhi keperluan rakyat untuk perkhidmatan melibatkan kesihatan mental.

“Bagi memberi perkhidmatan kesihatan terbaik di seluruh negara, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kaunseling dan psikiatri termasuk melaksanakan usaha kolaboratif dengan agensi lain dan swasta,” katanya.

Beliau berkata kementerian telah mengambil beberapa langkah lain untuk menambah bilangan pakar psikiatri di negara ini seperti melantik semula pakar psikiatri bersara secara kontrak untuk berkhidmat dengan kementerian berdasarkan keperluan perkhidmatan dan bidang kritikal.

Katanya, pihaknya juga meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan untuk Program Latihan Kepakaran Sarjana Perubatan bagi bidang Psikiatri.

Pada 2020, KKM telah memperluaskan perkhidmatan kaunseling di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan menempatkan 200 kaunselor baharu di seluruh negara.

Menteri Kesihatan ketika itu Dr Adham Baba berkata inisiatif terbabit bertujuan menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan kaunseling kepada mereka yang memerlukan, terutamanya semasa pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.