
Katanya, PAS tidak pernah mengehadkan perbahasan sebarang isu selagi tidak bercanggah syarak.
Tetapi, beliau berkata ahli PAS sangat memahami dasar permuafakatan politik dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Keputusan PRU dan PRN jelas bahawa rakyat bersama PN. Kami akan terus pertahan janji dan komitmen kepada pengundi,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Ini menyusul pendedahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, baru-baru ini bahawa beliau pernah mempelawa PAS menyertai kerajaan perpaduan tahun lalu, tetapi ditolak parti itu.
Kemudian, beliau dalam temu bual dengan Time Magazine memberi “jaminan” tidak menolak kerjasama dengan parti itu kelak.
Tuan Ibrahim berkata muktamar hujung minggu ini antara lain akan menyentuh isu pengukuhan parti, muafakat politik, penyatuan ummah, kos sara hidup dan konflik Palestin.
“Saya jangka ada tiga isu besar. Pertama, isu kos sara hidup dan ekonomi, kedua, isu pemerkasaan parti daripada segi penyediaan barisan kepimpinan dan pelapis akan datang. Ketiga, saya lihat isu nasional, iaitu isu yang berlaku di Palestin.”
Muktamar PAS ke-69 akan diadakan di Shah Alam dari 20 hingga 22 Okt ini. Kali terakhir ia diadakan di Selangor pada 2015.