
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, berkata menterjemah dan mentafsir ayat al-Quran hanya boleh dibuat ulama atau mufti.
“Saya nak tanya Ipoh Timur (Lee) belajar mana sehingga boleh jadi ulama. Orang bukan Islam tidak boleh lakukannya,” katanya di Dewan Rakyat.
Lee bangun dan mencelah selepas namanya dipetik Marzuk berhubung isu yang sudah “diselesaikan” sebelum ini.
“Ini satu sangkaan buruk dilontarkan kepada saya. Memetik nama saya secara tidak betul dengan sangkaan buruk.
“Yang dikatakan tafsir atau terjemah. Apa salah atas penterjemahan yang saya nukilkan. Apa salahnya. Salah atau tidak,” soalnya.
Bagaimanapun, situasi tegang itu ditenangkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor yang mengendalikan sesi perbahasan.
Beliau kemudian memberi peluang kepada Lee meminta penjelasan Marzuk dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan kenyataannya.
Dalam pada itu, Ramli memberi amaran kepada Lee, Marzuk dan empat lagi Ahli Parlimen lain yang “mengganggu” perbahasan tersebut.
“Amaran pertama diberikan kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur (Lee), Pengkalan Chepa (Marzuk), Kuala Terengganu (Ahmad Amzad Mohamed), Pendang (Awang Hashim), Tangga Batu (Bakri Jamaluddin) dan satu lagi Ahli Parlimen tak nak mengaku. Saya akan ulang balik video untuk cari dan beri amaran,” katanya.
Ramli akan memberikan keputusan esok untuk menyelesaikan perkara berbangkit itu.
“Saya akan buat keputusan sama ada melibatkan Perkara 36 (2). Ini pendirian saya. Esok saya akan buat keputusan,” katanya.
Pada 26 Sept lalu, Lee memohon maaf atas tindakannya memetik tafsiran al-Quran, selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan polis ke atasnya.
Lee disiasat susulan dua laporan polis ke atasnya yang didakwa menghina Islam dengan membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran, sekali gus menyentuh isu 3R, iaitu agama, raja dan kaum.