31,00 premis diperiksa dalam Ops Jamin

31,00 premis diperiksa dalam Ops Jamin

Operasi itu bagi meninjau bekalan dan harga beras di peringkat runcit serta barangan lain seperti gula dan minyak masak.

Sebanyak 31,000 premis di seluruh negara diperiksa dalam Op Jamin melibatkan pelbagai peringkat pengedaran bekalan beras.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 31,100 premis di seluruh negara diperiksa bawah Ops Jamin dari 7 Julai hingga semalam melibatkan pelbagai peringkat rantaian pengedaran bekalan beras termasuk pengilang, pemborong dan peruncit.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata pemeriksaan dibuat bagi mengetahui kedudukan bekalan dan harga beras di peringkat runcit serta barangan keperluan harian lain seperti gula dan minyak masak.

“Hari ini kita hendak tengok keadaan (isu barangan keperluan) kerana kebelakangan ini kita dengar keadaan sedikit reda. Jadi, saya turun sendiri untuk melihat sama ada betul atau tidak keadaan tersebut, tapi kita lihat masih ada lagi yang belum dapat bekalan beras tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan Ops Jamin di sebuah pasar raya di Cheras Jaya.

Sehubungan itu, Fuziah berkata Jualan Rahmah untuk beras import akan diteruskan dan dipergiatkan bagi membantu kekurangan bekalan barang keperluan di pasar raya.

Ops Jamin yang dilancarkan 7 Julai lalu adalah kolaborasi antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan keterjaminan bekalan beras dengan harga stabil dan terkawal.

Sementara itu, Fuziah berkata daripada 31,100 jumlah premis diperiksa, 10 kes diambil tindakan oleh KPDN kerana melakukan kesalahan iaitu masing-masing empat kes bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011, manakala dua kes melibatkan Akta Timbang dan Sukat 1972.

Selain itu, beliau berkata 331 aduan mengenai harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras diterima setakat semalam dan telah disalurkan kepada KPKM untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim Jumaat lalu, Fuziah berkata ia merupakan belanjawan menyebelahi rakyat memandangkan peruntukan untuk inisiatif Payung Rahmah ditambah kepada RM200 juta berbanding RM100 juta sebelum ini.

“Saya juga amat berbesar hati kerana bagi golongan miskin tegar, perdana menteri memperuntukkan RM10 bilion untuk pemberian bantuan Tunai Rahmah.

“Apabila kita menarik subsidi, semoga golongan yang dapat dan layak menerima subsidi itu boleh diberikan bantuan tunai dan gunakan ia untuk membeli barangan yang murah melalui bantuan Tunai Rahmah yang mereka terima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.