
Terdahulu CAAM mengumumkan sijil pengendali udara (AOC) digantung serta-merta selama tempoh 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut.
Pada 12 Okt lalu, syarikat penerbangan tambah murah itu menggantung operasinya serta-merta akibat “cabaran kewangan signifikan”. Kira-kira 125,000 yang sudah menempah tiket hingga akhir tahun ini dijangka terjejas dengan pengumuman itu.
CAAM sebelum ini dikritik kerana memperbaharui AOC MYAirline selama dua tahun pada 9 Okt lalu, tiga hari sebelum penghentian operasi secara tiba-tiba syarikat itu.
Bagaimanapun, CAAM dalam kenyataan berkata “tidak ada penemuan yang menunjukkan ada tanda-tanda masalah kewangan” semasa audit keselamatan dijalankan terhadap MYAirline dari 29 Mei hingga 1 Jun untuk pembaharuan AOC mereka.
CAAM mengeluarkan AOC bagi memberi kuasa kepada pengendali pengangkutan udara untuk terlibat dalam operasi pesawat. Antara aspek utama diperiksa sebelum mengeluarkan atau memperbaharui AOC adalah kemampuan pengendali udara menjalankan operasi yang selamat.
Ia berkata, sebagai sebahagian daripada audit keselamatan, pemegang AOC juga mesti memberikannya bukti mengenai kemampuan kewangan.
“Ini adalah untuk memastikan pengendali udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang,” katanya.
“Jika ada isu kewangan timbul, pemberitahuan bertulis kepada CAAM mesti dibuat segera untuk memastikan tiada kompromi terhadap keselamatan operasi.
“Sehingga hari ini, MYAirline tidak mengemukakan sebarang pemberitahuan sedemikian kepada CAAM.”
CAAM berkata, penghentian tiba-tiba operasi MYAirline, tanpa pemberitahuan awal kepada CAAM, menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam dan keselamatan keseluruhan operasi penerbangan awam di Malaysia.
Katanya, audit keselamatan terperinci akan dijalankan terhadap MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaannya.
Biasanya, syarikat penerbangan memerlukan dua lesen untuk beroperasi – AOC dan lesen perkhidmatan udara (ASL), yang dikeluarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).