
Anak-anak anjing itu, yang diletakkan di dalam sangkar, dibebaskan dengan selamat selepas harimau kumbang itu ditangkap.
Bagaimanapun, Persatuan Haiwan Terbiar berkata, menurut Akta Kebajikan Haiwan, meninggalkan haiwan dalam keadaan yang boleh menyebabkan trauma, kesakitan, penderitaan atau sebarang bentuk kesusahan adalah kesalahan.
Seorang lagi aktivis, Rajesh Nagarajan daripada Lawyers for Animal Rights berkata, Perhilitan tidak seharusnya menggunakan sebarang umpan hidup dalam operasi penangkapan, menyifatkannya langkah “sangat tidak berperikemanusiaan”.
Ditanya sama ada perlu wujud peraturan bagi operasi penangkapan hidupan liar, Rajesh berkata, tidak perlu ada peraturan kerana hidupan liar harus dibimbing pulang ke habitat semula jadi mereka apabila masuk ke kawasan kediaman.
Pengurus Besar Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) di Selangor Kelvin Cheah berkata, tindakan Perhilitan itu meletakkan anak-anak anjing berkenaan dalam “keadaan yang menekan dan berbahaya, menyebabkan mereka menderita”.
“(Tindakan) menggunakan anak-anak anjing sebagai umpan hidup menjadikan mereka sebagai alat, tidak menghiraukan nilai dan hak mereka untuk hidup bebas daripada bahaya tidak perlu,” katanya kepada FMT.
FMT sebelum ini melaporkan Perhilitan berkata, anak-anak anjing digunakan sebagai umpan hidup untuk menangkap harimau kumbang liar di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bulan lepas kerana umpan kambing tidak berkesan dan anjing dewasa tidak muat dalam perangkap.
Ketua Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hassan berkata, anak-anak anjing tersebut tidak mengalami sebarang bahaya dan mereka dibebaskan dari sangkar sebaik harimau kumbang itu ditangkap.
Malaysia memiliki populasi harimau kumbang hitam terbesar di dunia, tetapi spesies itu berdepan ancaman akibat kehilangan habitat dan pemburuan haram.