
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata dalam suasana politik yang dinamik, BN perlu tampil dengan strategi baharu walaupun keputusan PRN Ogos lalu menyaksikan penguasaan PAS yang menang kesemua kerusi DUN termasuk di Kemaman.
“Sasarannya untuk menang tapi kali ini kalau tak mereka boleh beri tamparan (kepada PAS) melalui anjakan sokongan pengundi kembali kepada BN, itu boleh dibanggakan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata parti itu kini lebih berhati-hati untuk bertanding PRK Parlimen Kemaman dan mengakui fikirannya terganggu memandangkan BN pernah tewas dengan majoriti besar di kawasan itu.
Pada PRU15, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru yang turut membabitkan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said dari BN.
Namun kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya. PAS tidak merayu keputusan itu.
Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya pula berpandangan BN tidak boleh menyerah dengan mudah namun perlu membuat penilaian dari aspek calon jika kekalahan pada pilihan raya disebabkan Ahmad atau lebih dikenali Mat Said.
“Mereka perlu lihat kelemahan sebenar bila berlaku kekalahan agak teruk. Kalau sebab Mat Said ganti calon lain…tetapi jika sebaliknya beliau boleh kekal.
“Bergantung kepada analisis dalaman parti barulah memberi keadilan kepada semua,” katanya.