
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan, berkata selaras dengan fenomena penuaan dalam kalangan penduduk, pihaknya perlu memastikan ahli boleh memenuhi keperluan hidup tanpa menjejaskan simpanan mereka.
“KWSP juga akan memperkenalkan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan,” katanya dalam kenyataan.
Amir berkata, inisiatif itu membantu rakyat meningkatkan simpanan persaraan dan memupuk keharmonian dan kesejahteraan dalam keluarga.

“Sebagai sebuah dana persaraan, KWSP menyokong dan akan bekerjasama dengan kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani untuk memastikan kehidupan persaraan rakyat terjamin,” katanya.
Bagaimanapun, katanya inisiatif diumumkan ketika Belanjawan 2024 adalah tertakluk kepada kelulusan Parlimen.
Amir berkata, kerajaan juga mahu memperkasakan program simpanan persaraan termasuk untuk meningkatkan had caruman tahunan i-Saraan, memperluaskan inisiatif i-Sayang kepada suami dan melanjutkan program i-Suri untuk suri rumah dengan memberikan insentif caruman padanan dan insentif seumur hidup.