
Timbalan Menteri Chan Foong Hin berkata, sumbangan sebanyak RM250 kepada pesawah yang layak itu dilakukan secara berperingkat dengan penyaluran pertama berjumlah RM10 juta manakala kedua, RM20 juta.
“Penyaluran pertama dilakukan kepada tiga negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala penyaluran kedua sebanyak RM20 juta adalah kepada pesawah di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Penyaluran bantuan bagi pesawah di Perak dan negeri-negeri lain akan dilaksanakan pada peringkat yang seterusnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (Perikatan Nasional-Parit Buntar) yang ingin tahu masalah yang menyebabkan petani di Perak belum mendapat sumbangan RM250 daripada Syed Mokhtar Al-Bukhari, sedangkan sumbangan tersebut sudahpun disalurkan kepada kerajaan.