
Pengarahnya, Najmuddin Abdul Karim, berkata kebenaran untuk badan bukan kerajaan (NGO) itu mengutip derma dihentikan Khamis lalu berdasarkan surat diterima JAIPs daripada Jabatan Mufti Perlis.
Katanya, ia disebabkan Jabatan Mufti Perlis menerima aduan mengenai isu kutipan Aman Palestin.
“Susulan itu, JAIPs menarik balik kebenaran kutipan oleh Aman Palestin berkuat kuasa 12 Okt hingga siasatan selesai,” katanya menurut Sinar Harian.
Facebook ProMedia Tajdid pada 11 Okt lalu memuat naik surat Jabatan Mufti Perlis bertarikh 24 Ogos 2023 yang meminta JAIPs tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin di premis agama Islam negeri itu.
Dalam surat ditulis Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, jabatan itu berpendapat ada hal tidak jelas dan menimbulkan persoalan berhubung kutipan Tabung Aman Palestin.
“Aduan beberapa pihak meminta pertubuhan itu disiasat berkaitan wang yang dipungut dan dikumpulkan selama ini.
“Untuk itu, pihak jabatan ingin memberikan pandangan agar pihak jabatan tuan (JAIPs) tidak membenarkan pertubuhan tersebut membuat kutipan di premis-premis agama Islam di negeri ini sehingga siasatan dan kepastian diperolehi,” menurut surat itu.
Pada 9 Okt lalu, Asri dilaporkan meminta orang ramai berhati-hati dengan sindiket penipuan cuba mengambil kesempatan mengumpul dana konon untuk membantu rakyat Palestin.
Beliau tidak menolak ada pihak sedemikian muncul untuk meraih simpati orang ramai menggunakan isu serangan Israel terhadap Palestin demi kepentingan diri.