Pekerja swasta mengadu gaji tak naik walaupun syarikat untung besar, kata PM

Pekerja swasta mengadu gaji tak naik walaupun syarikat untung besar, kata PM

Anwar Ibrahim berharap syarikat swasta mengikut jejak langkah kerajaan yang mengkaji semula skim gaji penjawat awam menerusi Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru syarikat swasta mempertimbangkan tambahan gaji  munasabah bagi pekerja ‘dalam keadaan yang ada sekarang’.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa syarikat swasta yang mencatatkan keuntungan besar mengikut jejak langkah kerajaan dalam memperbaiki skim gaji pekerja seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Berucap pada majlis perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beliau menerima rungutan daripada pekerja sektor itu yang mendakwa kadar gaji mereka tidak berganjak walaupun majikan mencatatkan hasil yang baik.

“Saya juga minta sektor swasta (kaji kadar gaji kerana) ada yang mengadu syarikat untung RM400 juta setahun, tapi upah pekerja tak meningkat langsung,” katanya.

“Jadi saya harap ‘signal’ yang diberikan oleh kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada penjawat awam juga disambut oleh sektor swasta, terutama yang mencatatkan keuntungan yang baik.

“Bagilah sikit tambahan (gaji) yang munasabah dalam keadaan yang ada sekarang,” katanya merujuk langkah kerajaan mengkaji Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pemberian insentif awal RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah menerusi Belanjawan 2024 diumumkan Jumaat lalu.

Anwar mengakui pengumuman berhubung insentif itu mengejutkan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, termasuk Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali.

“Tidak ada yang menganggap ini sebagai satu perkara yang mungkin dalam keadaan kekangan kewangan kerajaan sekarang dan KSN pun terkejut dengan jumlah itu, (malah) Kementerian Kewangan tidak mengusul sampai ke situ.

“… tapi saya fikir dalam rangka yang lebih luas sebab kajian sistem persaraan ini tidak dilakukan sejak 10 tahun,” katanya.

Justeru, beliau meminta kajian yang sedang dirangka itu dilaksanakan dengan teliti, mengambil kira pandangan kakitangan di jabatan dan sektor yang agak ketinggalan.

“Saya nak semua rumusan itu sampai ke meja kami tatkala bincang di peringkat tertinggi,” katanya berharap kajian itu selesai pada pertengahan tahun depan, agar “ada pengumuman penting pada Belanjawan 2025”.

“Kita akan beri perhatian lebih baik kerana tidak munasabah untuk harapkan prestasi itu meningkat tinggi, (produktiviti) tinggi tapi kadar upah tak meningkat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.