
Ketika membacakan keputusan sebulat suara panel rayuan, Hakim Nallini Pathmanathan berkata “prinsip bayar dahulu, bincang kemudian” tetap berkuatkuasa dan sesiapa yang berhutang kepada LHDN mesti menyelesaikan jumlah tertunggak sebelum merayu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.
“Mengutip cukai adalah fungsi berdaulat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata bahawa Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan diwartakan Parlimen membolehkan pengutipan cukai dilakukan tepat pada masanya.
Nallini berkata bahawa Seksyen 106(3) adalah berperlembagaan kerana ia tidak melanggar Perkara 5, 8 dan 121 Perlembagaan Persekutuan.
Panel rayuan dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan ia juga disertai Hakim Besar Malaya Zabidin Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim dan Abu Bakar Jais.
Najib dan Nazifuddin mendakwa bahawa penghakiman terus yang dikenakan terhadap mereka menafikan hak mereka kepada perbicaraan yang adil.
LHDN, sebaliknya berhujah bahawa pihak yang terkilan tidak berhak untuk membentangkan pembelaan walaupun terdapat isu-isu yang memerlukan perbicaraan.
Penghakiman terus diperolehi apabila mahkamah membuat keputusan kes berdasarkan afidavit tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan penuh.
Keputusan hari ini membenarkan LHDN untuk meneruskan prosiding notis kebankrapan yang dikeluarkan kepada Najib dan Nazifuddin dua tahun lalu.
Pada Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache memutuskan bahawa Najib perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN untuk tahun penilaian dari 2011 hingga 2017.
Pada tahun yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Zaidi Ibrahim yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan Nazifuddin, seorang ahli perniagaan, untuk membayar RM37.6 juta cukai yang tertunggak dari tempoh yang sama.
Pada 9 September 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang kini menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, mengekalkan keputusan kedua-dua Mahkamah Tinggi tersebut.