
Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu ditambah dengan sikap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang dilihat tidak serius dalam menarik minat pelancong ke negara ini.
“Saya tak nampak menteri serius, sekurang-kurangnya kita perlu ada masa sikit, ini berbaki dua tahun. Kalau dapat tarik setahun lagi, jadikan tiga tahun dapatlah (dilaksanakan),” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah kepada FMT.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, dalam masa berbaki dua tahun, dua bulan dan 15 hari sebelum ia dilaksanakan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) perlu melaksanakan promosi, termasuk mengadakan libat urus bersama pemain industri secara serius bagi mempergiat usaha kedatangan pelancong.
“Kita tak boleh nak tunggu 2026, maksudnya dah kena ada naratif, laksana acara dan program, itu yang harus dilakukan,” katanya.
Terdahulu, Mas Ermieyati ketika mencelah perbahasan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat, membangkitkan isu masa singkat, di sebalik pengumuman kerajaan berkaitan Tahun Melawat Malaysia.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Tahun Melawat Malaysia akan ditetapkan semula pada 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.