
Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, keputusan itu langkah proaktif kerajaan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara.
“Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin.
Wisma Putra turut menyarankan warga Malaysia menangguhkan perjalanan tidak penting (non-essential travel) ke Lubnan.
Kerajaan juga mengarahkan pihak kedutaan mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan rakyat Malaysia di negara itu, termasuk pasukan pengaman Angkatan Tentera Malaysia – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (ATM-PBB), iaitu Malbatt yang berkhidmat bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (Unifil).
“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berhubung rapat dengan 12 warga Malaysia serta keluarga yang kini bermastautin di Lubnan.”
Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular dan mempunyai pertanyaan boleh berhubung dengan pihak kedutaan di talian +961 (1)1970207 (pejabat) atau +961-71380063 (bimbit) atau e-mel [email protected].
Menurut laporan media, kawasan selatan Lubnan turut menjadi sasaran bedilan roket Israel susulan konflik dengan Palestin sejak 7 Okt lalu.
Jumaat lalu, wartawan Reuters, Issam Abdullah, terkorban dalam serangan Israel ketika bertugas dekat sempadan Lubnan-Israel.
Serangan itu turut mencederakan enam yang lain, termasuk wartawan AFP dan Al Jazeera.