Jumlah calon lulus Sijil Amalan Guaman meningkat

Jumlah calon lulus Sijil Amalan Guaman meningkat

Menurut keputusan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu, seramai 439 daripada 1,297 calon lulus peperiksaan itu, tertinggi sejak 2020.

Majlis Peguam sebelum ini menggesa CLP dimansuhkan dan diganti dengan peperiksaan kemasukan baharu di mana semua graduan undang-undang perlu mendudukinya.
PETALING JAYA:
Jumlah calon yang lulus penuh dalam peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) tahun ini meningkat berbanding tahun lalu, dengan 439 daripada 1,297 calon, atau 34%, berjaya.

Sementara itu, seramai 229 calon lulus bersyarat iaitu gagal hanya dalam satu daripada lima subjek. Mereka mempunyai tiga cubaan lagi untuk lulus subjek tersebut.

Ini merupakan jumlah kelulusan tertinggi sejak 2020.

Tahun lalu, hanya 310 daripada 1,038 calon, atau 30%, berjaya dalam peperiksaan tahunan ini, membolehkan mereka memulakan tempoh sembilan bulan sebagai pelatih di bawah seorang peguam yang mempunyai pengalaman tidak kurang daripada tujuh tahun, yang merupakan syarat wajib untuk diterima menjadi peguam.

Pada tahun 2021, hanya 17% mendapat lulus penuh, manakala pada tahun sebelum itu adalah 25%.

Apabila digabungkan jumlah calon yang mendapat kelulusan penuh dan bersyarat, peperiksaan ini mencatat kadar kegagalan 48%, yang terendah sejak 2020, menurut keputusan yang dikeluarkan pada hari Jumaat.

Sejak beberapa tahun peguam dan beberapa kumpulan mengkritik kadar kegagalan yang tinggi dalam peperiksaan CLP, dengan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) dituduh mengenakan kuota, tetapi dinafikan badan itu.

Pengkritik, termasuk Majlis Peguam, mencadangkan peperiksaan kemasukan kelayakan umum bagi menggantikan CLP yang “sukar” untuk memberikan peluang yang sama rata bagi semua graduan undang-undang.

Pemegang ijazah undang-undang dari kolej swasta tempatan dan luar negara perlu lulus peperiksaan CLP, manakala graduan dari universiti awam dan beberapa institusi asing tertentu dikecualikan.

Di bawah peraturan semasa, calon hanya dibenarkan menduduki peperiksaan CLP sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun.

LPQB enggan membuat sebarang komen apabila dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.