Jala ikan di tasik, 2 lelaki lemas

Jala ikan di tasik, 2 lelaki lemas

Dua lelaki dikenali Rajakumar dan Saravanan yang masing-masing berusia 29 serta 30 tahun itu ditemui kira-kira 12 tengah malam tadi.

Kedua-dua mangsa lemas ditemui di dasar tasik sedalam 2m pada jarak 10m dari tebing selepas bomba mencari di permukaan.
SHAH ALAM:
Dua lelaki ditemui lemas dalam Tasik Bandar Puteri, Klang dekat sini, tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata dua lelaki dikenali Rajakumar dan Saravanan yang masing-masing berusia 29 serta 30 tahun itu ditemui kira-kira 12 tengah malam.

Beliau berkata empat anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas serta lapan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.07 malam.

Katanya kedua-dua mangsa ditemui di dasar tasik sedalam 2m pada jarak 10m dari tebing selepas bomba mencari di permukaan.

“Dipercayai mereka ini menjala ikan di tasik itu. Kita serahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.