
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu berkata siasatan awal mendapati taska berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-kanak, iaitu mengendalikan suatu taska tidak berdaftar.
“JKM akan hantar notis pemberitahuan tindakan lak atau sita dan selepas 21 hari, sekiranya taska tersebut tidak mengemukakan bukti atau perakuan pendaftaran, maka tindakan lanjut ialah seperti kompaun atau tindakan pendakwaan berlandaskan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Universiti Malaya.
Semalam, media melaporkan seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuh di taska berkenaan Selasa lepas dan difahamkan, kejadian itu menimpa mangsa pada hari kedua bayi tersebut dihantar ke taska itu.
Dalam pada itu, Aiman menasihatkan ibu bapa menghantar anak-anak ke taska yang berdaftar dengan JKM, kerana setiap taska berdaftar mematuhi prosedur pengasuh dan penjagaan kanak-kanak yang ditetapkan.
“Kementerian berharap ibu bapa peka dan hanya menghantar anak-anak ke taska berdaftar dengan JKM, kerana setiap taska yang berdaftar akan dipantau oleh agensi, selain pengasuh juga telah menjalani kursus asuhan.
“Sebelum mendaftar ke taska, ibu bapa harus semak dengan pengusaha sama ada mereka punyai perakuan pendaftaran atau boleh semak dengan JKM dan portal JKM,” katanya.