Kurangkan syarat pendapatan MM2H kepada separuh, kata ejen penempatan

Kurangkan syarat pendapatan MM2H kepada separuh, kata ejen penempatan

Ejen penempatan berharap syarat yang lebih longgar menjadikan program itu lebih mampu kepada pemohon.

Ejen penempatan berkata syarat yang ada ketika ini menyebabkan permohonan warga asing untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) terus merosot.
PETALING JAYA:
Seorang ejen penempatan menggesa kerajaan untuk mengurangkan syarat pendapatan kepada separuh bagi warga asing yang memohon menetap dalam jangka panjang di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Gideon Yap berharap program itu boleh dibuat lebih mampu bagi bakal pemohon. Kerajaan perlu mengurangkan syarat pendapatan bulanan dari RM40,000 kepada RM20,000, katanya.

Yap, yang merupakan pengarah urusan sebuah agensi penempatan, berkata pesara warga asing tidak akan dapat memenuhi keperluan pendapatan bulanan RM40,000, “walaupun mereka mendapat pendapatan dari hartanah yang disewakan atau bahagian dividen”.

Yap berkata permohonan untuk program tersebut merosot menjadi kira-kira 10 pada setiap tahun, bersamaan penurunan sebanyak 90% dalam jualan, disebabkan oleh sekatan yang dikenakan pada 2021. “Ia memberi kesan yang cukup besar kepada kami,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024, berkata kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat permohonan MM2H, yang dijangka akan meningkatkan aktiviti pelaburan di pasaran kewangan dan industri hartanah negara.

Program MM2H, yang diperkenalkan pada 2002, bertujuan untuk menarik warga asing berada untuk tinggal di Malaysia dan menyumbang kepada ekonomi melalui daya beli tinggi atau kemahiran khusus mereka.

Pada 2021, kerajaan mengumumkan syarat yang lebih ketat bagi program ini, seperti menaikkan pendapatan bulanan pemohon dari RM10,000 kepada RM40,000.

Pengerusi Dewan Perniagaan Ireland di Malaysia Donal Crotty pula berharap kerajaan akan kembali kepada syarat-syarat asal program itu.

Beliau juga mencadangkan pendekatan yang lebih selaras dalam proses permohonan visa, sama ada untuk bekerja atau melancong. “Daripada membuat perubahan berpecah-pecah kepada elemen-elemen individu program visa, adakan siri program dan lihat bagaimana mereka suaikannya,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Crotty berkata janji kerajaan untuk mengkaji semula program tersebut bermaksud “kerajaan merancang perubahan untuk menjadikan Malaysia kembali menarik lagi”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.