
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berkata kenaikan RM100 selepas sembilan tahun tidak lagi releven kerana jumlah itu tidak cukup menampung kos operasi penanaman padi seperti pembelian racun, baja, bajak dan jentuai.
Bendaharinya Rafirdaus Abu Bakar berkata sebaliknya harga munasabah selepas mengambil kira kenaikan kos ialah RM1,500 per metrik tan.
“Pesawah hari ini bukan macam zaman 80-an, waktu itu kos buruh rendah tetapi sekarang tanggung macam-macam seperti alat ganti jentera tanam padi…belum lagi masuk sewa tanah.
“Dahulu serelung dalam RM350 tetapi kini RM800 hingga RM1,200, pendek kata pesawah sekarang ditekan pemain lain yang bekal perkhidmatan untuk penanaman padi,” katanya kepada FMT.
“Kos munasabah harga lantai belian padi zaman sekarang ialah RM1,500 per tan metrik ditambah dengan RM500 subsidi kerajaan.”
Semalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan, demi membantu pendapatan pesawah.
Perdana menteri melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan menetapkan harga lantai RM1,200 sejak 2014.