Sedar ramai pelajar susah, peniaga kekal harga nasi campur RM3.50

Sedar ramai pelajar susah, peniaga kekal harga nasi campur RM3.50

Hamid Yahya tidak sampai hati menaikkan harga walaupun terpaksa tanggung kenaikan kos operasi 20%.

Hamid Yahya bersama pelajar dan ahli keluarga mereka yang makan di kafeterianya di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
PETALING JAYA:
Seorang pengusaha kafeteria di sebuah universiti di Terengganu mengakui kos perniagaannya meningkat 20% akibat kenaikan harga bahan mentah, namun tetap meneruskan hidangan ‘lebih Rahmah’ berharga RM3.50.

Pesara guru Hamid Yahya, 61, berkata beliau tidak sampai hati menaikkan harga apabila melihat kesukaran segelintir pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) terutama yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Harga kami jual RM3.50 di bawah harga Menu Rahmah, ada juga pelajar cakap kenapa murah sangat dan tak naikkan kepada RM4.

“Tetapi ada juga tak mampu beli lauk dan hanya ambil nasi dengan kuah sahaja sebab dalam poket hanya ada RM1…kalau ada lauk lebih saya bagi percuma sahaja” katanya kepada FMT.

Sejak awal September lalu berlaku kenaikan harga bagi barangan asas seperti beras terutamanya yang diimport, susulan penyelarasan harganya kepada RM3,200 per tan metrik berbanding harga sebelum ini RM2,350 per tan metrik.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kekurangan bekalan beras tempatan kerana banyak isi rumah dan peniaga beralih kepadanya yang harganya kekal RM2.60 sekilogram.

Perkara terbabit dirasai seorang pemilik kedai makan di universiti di Lembah Klang dikenali sebagai Fahmi yang terpaksa menaikkan sedikit harga makanan, selain menghentikan penawaran hidangan dalam Menu Rahmah bernilai RM5.

Katanya, selain harga bahan mentah yang semakin mahal, beliau juga perlu menanggung kos lain seperti gaji pekerja dan sewa bulanan premis.

Sementara itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Wan Muhammad Arif Wan Fariz mendakwa tinjauan pihaknya mendapati kebanyakan kafeteria di universiti di Lembah Klang menaikkan harga makanan dan minuman.

“Sebelum ini kalau nasi, ayam dan sayur harganya sekitar RM4 hingga RM5 sahaja, sekarang lebih kurang RM8, kami pernah jumpa vendor yang mengatakan mereka terpaksa menaikkannya kerana kos di luar tinggi,” katanya.

Bagi seorang pelajar tahun pertama di Universiti Malaya, Nurul Ain Ahmad, harga makanan di kafeteria kolej kediamannya masih boleh dikatakan terkawal.

“Perbelanjaan sehari dalam RM10 hingga RM12 kalau makan di kafeteria, tapi di luar tak dapat harga begini,” katanya pelajar dari Kota Kinabalu, Sabah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.