Perlu jelaskan mengapa terima penyelesaian Goldman Sachs, kata bekas Ahli Parlimen

Perlu jelaskan mengapa terima penyelesaian Goldman Sachs, kata bekas Ahli Parlimen

Charles Santiago berkata rakyat ada hak untuk mengetahui mengapa mereka yang terbabit dengan rundingan dengan bank itu bersetuju dengan "perjanjian tidak adil".

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata langkah Goldman Sachs menuntut timbang tara adalah satu “taktik untuk menakutkan”.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen menggesa mereka yang terlibat dalam penyelesaian 1MDB kerajaan dengan bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs, menjelaskan mengapa mereka bersetuju dengan “perjanjian tidak adil”.

“Kerajaan patut memanggil pihak yang terlibat dalam rundingan dan meminta mereka menjelaskan alasan-alasan untuk keputusan mereka,” kata bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

“Orang ramai berhak untuk mengetahui bagaimana jumlah penyelesaian itu ditentukan, siapa yang terlibat dalam rundingan penyelesaian, dan mengapa mereka bersetuju dengannya,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan tentang rancangan Goldman Sachs untuk memulakan prosiding timbang tara terhadap kerajaan Malaysia berhubung penyelesaian 1MDB yang dipersetujui tiga tahun lalu.

Bloomberg sebelum ini melaporkan Goldman Sachs mengambil “langkah luar biasa” dengan memulakan prosiding timbang tara di mahkamah UK “dalam pertikaian berterusan berhubung penyelesaian berkaitan peranan bank itu dalam skandal 1MDB”.

Perjanjian itu, ditandatangani pada 18 Ogos 2020, memerlukan Goldman Sachs membuat pembayaran dalam dua bahagian – pembayaran tunai sebanyak USD2.5 bilion yang dibayar dalam masa 10 hari selepas perjanjian itu ditandatangani, dan jaminan pemulihan aset sebanyak USD1.4 bilion dalam masa lima tahun.

Santiago berkata Goldman Sachs sedang mengamalkan “taktik untuk menakutkan” dengan menuntut timbang tara. “Ini adalah cubaan yang jelas untuk mencemarkan reputasi Malaysia di pasaran global,” katanya.

Beliau berkata Goldman Sachs sepatutnya mengemukakan saman di Malaysia.

Kes timbang tara ini akan menyebabkan kelewatan dalam penyelesaian itu dan memerlukan kos yang perlu ditanggung oleh pembayar cukai Malaysia.

Pada Khamis lalu, pengerusi pasukan Petugas 1MDB, Johari Ghani, menyifatkan langkah Goldman Sachs sebagai “pramatang” dan dilakukan “tanpa pertimbangan sewajarnya terhadap prasyarat yang diperlukan”.

Beliau juga berkata ini adalah “percubaan untuk mengurang dan mengalihkan perhatian” daripada kewajipannya membuat pembayaran interim kepada kerajaan sebanyak USD250 juta mengikut perjanjian yang dimeterai.

Pejabat Peguam Negara mengatakan ia akan menyediakan respons terhadap tindakan Goldman Sachs yang menuntut timbang tara “dalam batasan undang-undang”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.