Pelepasan cukai beli barang, yuran latihan mampu ubah industri sukan, kata Hannah

Pelepasan cukai beli barang, yuran latihan mampu ubah industri sukan, kata Hannah

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata inisiatif dalam Belanjawan 2024 itu bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pelepasan cukai untuk pembelian barangan dan program latihan sukan mampu menyuntik lebih banyak modal ke dalam industri sukan negara.
PUTRAJAYA:
Pelepasan cukai untuk pembelian barangan dan program latihan sukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 semalam mampu menjadi “game changer” kepada industri sukan negara, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Bercakap kepada media sempena Hari Sukan Negara 2023, beliau berkata dengan pelepasan cukai itu juga mampu menyuntik lebih banyak modal ke dalam industri sukan, selain memastikan kanak-kanak dipupuk gaya hidup sihat sejak kecil.

“Insentif cukai akan jadi ‘game changer’ untuk industri sukan. Ini sangat penting untuk ibu bapa melabur duit simpanan setiap bulan untuk kekalkan anak mereka aktif.

“Pelaburan seperti ini oleh ibu bapa (bermakna) industri sukan akan dapat kemasukan wang yang banyak untuk tujuan latihan kanak-kanak,” katanya.

“Ini cara kita ubah gaya hidup kanak-kanak untuk pastikan mereka suka sukan dan apabila besar nanti mereka teruskan gaya hidup ini.”

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 semalam mengumumkan kerajaan bersetuju memberi pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan, dan diperluas kepada yuran latihan sukan.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang melaksanakan pendidikan termasuk pendidikan sukan juga layak mendapat potongan cukai sehingga 10%.

Sebelum ini pengecualian cukai hanya terhad kepada individu yang membuat pembelian alatan sukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.