Amirudin beri bayangan insentif penjawat awam Selangor bulan depan

Amirudin beri bayangan insentif penjawat awam Selangor bulan depan

Menteri besar Selangor berkata kerajaan negeri mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM2 bilion Ogos lalu.

Amirudin Shari merasmikan Hari Sukan Negara peringkat Selangor di IJM Rimbayu. (Gambar Bernama)
BANTING:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membayangkan penjawat awam negeri itu bakal menerima insentif setanding pencapaian kerajaan negeri yang dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024, November ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM2 bilion pada Ogos lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini sasaran kutipan hasil negeri berjaya dicapai seawal bulan Ogos dan saya percaya penjawat awam negeri Selangor wajar menerima insentif yang setanding dengan pencapaian mereka.

“(Insentif) negeri Selangor tunggulah, tunggu pengumuman pada November,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat Selangor di IJM Rimbayu.

Pada 22 Ogos lalu Amirudin mengumumkan kerajaan Selangor berjaya mengutip RM2 bilion hasil negeri seperti diunjurkan dalam Belanjawan Selangor 2023.

Mengulas tentang insentif untuk penjawat awam persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam, beliau berkata hal itu pastinya sangat melegakan tenaga kerja sektor awam di seluruh negara.

“Angka RM2,000 itu saya rasa banyak melegakan penjawat awam di seluruh negara, terutamanya (ketika itu mereka) berdepan dengan (anak) masuk sekolah bulan Februari dan persiapan hari raya (Aidilfitri) pada bulan Mac atau April,” katanya.

Sementara itu, Amirudin yakin kerajaan Selangor dapat mengutip keseluruhan RM2.3 bilion hasil negeri tahun ini.

“Setakat ini kutipan kita mencecah RM2.25 bilion. Sasaran kita RM2.05 bilion berjaya dicapai, maknanya kita sudah ada lebihan RM200 juta. Kalau ikut trend, untuk kita cecah RM2.3 bilion boleh dikatakan hampir pasti, tapi ini juga bergantung pada pembayaran individu atau syarikat terhadap tanah dan cukai-cukai tertentu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.