
Perdana menteri berkata matlamat negara Madani hanya dapat direalisasikan sekiranya rakyat khususnya anak muda diperkasakan, selain cerdas dan sihat.
“Saya minta jaringan antara KBS, KPM, KPT harus ada rangkaian yang lebih erat supaya kegiatan di sekolah, kegiatan di pusat pengajian tinggi, dan kegiatan antara masyarakat komuniti itu disegarkan.
“Madani ini hanya berkembang jika rakyat itu diperkasakan, bukan saja kerajaan diperkasakan, tetapi rakyat juga diperkasakan dalam pelbagai perkara… pekerjaan, ekonomi dan terutamanya, kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara 2023 di Dataran Putrajaya.
Hari Sukan Negara diperkenalkan pada 2015, oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin. Ia disambut pada minggu kedua Oktober setiap tahun.
Anwar dalam ucapannya turut meminta generasi muda bangkit mengharumkan nama negara melalui sukan, tanpa mengira perbezaan kaum dan budaya.
“Tak kira nama dia apa, asalkan dia anak muda Malaysia, berikan kemenangan hebat. Itu agenda kita,” katanya yang menerima tepukan gemuruh peserta HSN 2023.